Wednesday, January 18, 2012

kisah method pengajaran fiqh yg lucu

Tabiat manusia terhibur dan tertarik dengan gurau senda dan jenaka. Maka syarak membenarkan gurau dan jenaka, malahan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri pernah berjenaka dan bergurau dengan para sahabat. Imam Tirmizi membuat tajuk khas dalam kitab Syamail Muhammadiyyah, tentang gurau senda baginda.

Begitu juga dengan penuntut ilmu. Mereka adakalanya merasa jemu jika majlis-majlis pengajian berjalan dengan penuh keseriusan tanpa diselang seli dengan sedikit jenaka. Memahami hakikat ini, kita dapati sesetengah ulama memasukkan sedikit jenaka dalam pengajian ilmu mereka. Ia ibarat garam yang melazatkan makanan. Jika terlebih, lain pula jadinya.

Di sini, saya ingin membawakan beberapa contoh jenaka Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin ketika memberi kuliah pengajian. Semoga Allah merahmati beliau dan menggembirakan beliau dengan balasan syurga.

1) Seorang murid bertanya: Dalam hadis disebut bahawa tidak boleh membuat perlumbaan kecuali haiwan yang mempunyai khuf (unta), atau memanah, atau haiwan yang kakinya menghentak (kuda). Apa pandangan syeikh tentang mereka yang mengadakan pertandingan ayam dan merpati?

Syeikh menjawab: Dalam hadis tersebut, maksudnya tidak boleh diadakan hadiah dalam pertandingan kecuali yang disebutkan itu. Kerana perkara-perkara itu membantu di dalam peperangan. Oleh sebab faedah ini, syarak membenarkan disediakan pertaruhan dalam pertandingan ini. Jadi, kalau ayam kamu boleh menyumbang dalam peperangan, kamu boleh menunggang ayam kamu, ia boleh berlari ke sana ke mari, maka bolehlah. Jika tidak, maka tidak harus. (Liqa Al-Bab Al-Maftuh).

2) Dalam satu pengajian nahu Bahasa Arab, Syeikh meminta seorang muridnya membina satu ayat. Lalu muridnya menjawab.
Murid: “Saya membaca di hadapan seorang mabuk”.
Syeikh: Allahul Musta’an. Kamu tidak menjumpai orang yang tidak mabuk untuk kamu baca di hadapannya?

3) Seorang lelaki bertanya syeikh tentang hukum wanita melihat lelaki. Syeikh berpendapat jika bebas daripada fitnah, maka tidak mengapa. Lelaki ini berulang kali bertanya kerana kurang bersetuju dengan pendapat syeikh. Apabila lelaki itu mahu beredar, syeikh bertanya kepadanya.
Syeikh: Kamu mahu ke mana?
Lelaki: Mahu berjalan-jalan.
Syeikh: Kamu pakailah niqab (purdah) supaya wanita tidak melihat kamu.

4) Ketika syeikh memberi kuliah tentang hukum susuan, beliau menyoal murid-muridnya.
Syeikh: Kalau dua bayi menyusu dari seekor kambing.
Murid-murid: (ketawa).
Syeikh: Ya, kalau kita perah susu seekor kambing, dan beri minum dua bayi itu, adakah dua bayi itu dikira saudara susuan? Kerana susunya adalah sama. Jawapannya ialah kalau dua bayi itu ialah kambing, maka mereka adalah saudara susuan. Jika bukan kambing, maka bukan saudara susuan.

5) Seorang lelaki bertanya syiekh,
Lelaki: Syeikh, apa yang perlu dilakukan selepas selesai berdoa?
Syeikh: Menurunkan tangan.

6) Seorang lelaki bertanya syeikh tentang hukum sujud sajadah.
Lelaki: Syeikh, jika seseorang mendengar bacaan Quran daripada radio, lalu ada ayat sajadah. Adakah dia perlu sujud tilawah?
Syeikh: Ya, jika radio itu sujud.

7) Dalam satu pengajian tentang hukum-hakam nikah, seorang murid bertanya.
Murid: Syeikh, kalau saya berkahwin, kemudian mendapati isteri saya tidak ada gigi. Adakah ia dikira aib yang membolehkan fasakh?
Syiekh: (ketawa) Bagus isteri macam tu, supaya kamu tidak digigitnya.

8 ) Dalam satu majlis ceramah, pengerusi majlis mengalu-alukan syeikh dengan ucapan doa. Antara lain pengerusi menyebut, “…semoga Allah memberikan beliau kesihatan sehingga hari pembalasan (akhirat)”.
Syeikh mencelah, “Sehingga hari pembalasan?!”.

Rahimallah Fadhilat Al-Syeikh Rahmatan Wasiah.

Kisah-kisah ini diambil daripada satu thread dalam Multaqa Ahli Hadith

http://abuumair1.wordpress.com/2008/09/07/jenaka-dalam-ilmu/

Friday, January 6, 2012

veteran umno mengaku umno tabur duit masa pilihanraya

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Veteran Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir (gambar) menasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar 'tidak kalut' untuk mengadakan pilihan raya seawal Mac tahun ini.

Sebaliknya kata beliau, Najib sewajarnya menunggu Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya selesai melaksanakan tugas mereka terlebih dahulu dan segala syor mereka dilaksanakan sepenuhnya.

Jika Perdana Menteri membuat pilihan raya awal tanpa menunggu jawatankuasa yang dibentuknya selesai menjalankan tugas, orang ramai akan mempertikaikan langkah beliau itu dan menganggap beliau menipu.

Oleh itu, katanya, Perdana Menteri perlu memastikan jawatankuasa itu selesai menjalankan tugas mereka selepas beliau sendiri melantik mereka sebelum ini.

Bekas menteri penerangan dan pelancongan itu berkata demikian dalam wawancara eksklusif dengan Harakahdaily semalam.

"Setakat ini baru cap jari (dakwat kekal), benda kecik sahaja, benda-benda pokok belum buat lagi.

"Kita ada masa, parlimen ini sampai April 2013, apa duk kalut sangat. Tabur duit merata-rata nak buat pilihanraya bulan Mac," katanya.

Sambil mengingatkan Najib bahawa sekarang sudah tahun 2012, rakyat zaman ini sudah pandai menilai dan tidak boleh lagi diperbodohkan, kata beliau yang juga Timbalan Presiden NGO Angkatan Amanah Merdeka (Amanah).

Antara lain katanya, keperluan rakyat kepada media yang adil dan bebas, bukan melaporkan sebelah pihak seperti sekarang ini.

"Harakah misalnya, mewakili setengah daripada orang Melayu di Semenanjung.

"Dia mintak permit nak buat akhbar (harian) ni dah 50 tahun dah, tak bagi juga. Kalau saya ada kuasa saya bagi," katanya lagi.

Selain itu, beliau juga mengingatkan kerajaan BN pada hari ini agar matang dan tidak lagi menggunakan taktik kotor untuk menang pilihan raya termasuk amalan membeli undi.

"Saya sendiri pernah diberi satu longgok cash suruh saya edar. Pembelian undi secara-terang terangan dua tiga hari sebelum pilihan raya. Berjuta-juta duit diedar cara besar-besaran.

"Ramai orang kelabu mata bab duit ni, tapi tak usah buat dah la, hodoh sangat dah," katanya sambil menyeru BN bertanding secara 'gentleman'.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7418-praya-selepas-kerja-jk-parlimen-selesai-kadir

ABU: Adakah Malaysia sebuah negara yang gagal?

Hari tu aku bersembang dengan seorang pemimpjn PKR peringkat Cabang. Dia cukup seronok sebab anaknya dapat 5A dalam UPSR. Bagus la. Tapi yang menarik, bila dia kata sistem pendidikan sekarang sudah meningkat. Kalau dulu, sekolah kampung macam di Sauk nak dapat 3 orang yang dapat 5 A pun susah…tapi tahun ini ada 11 orang dapat 5A. Ini menunjukkan bahawa sistem pendidikan kita sudah meningkat dan mampu melahirkan pelajar yang pandai.

Kalau hangpa setuju dengan kenyataan diatas, lebih baik hangpa toksah baca posting aku seterusnya. Sat lagi hangpa marah kat aku pulak.

Minggu lepas aku melilau pekan Ipoh untuk mencari tempat tinggal untuk anak aku yang bersekolah di Ipoh. Sekolah tu tak ada asrama jadi terpaksa tinggal diluar.

Aku merayau disekitar Taman Campaka dan memang banyak hostel swasta. Rumah teres dua tingkat yang disewakan kepada pelajar. Kadar sewa ialah RM650.00 untuk satu semester dan ditambah RM120 untuk duit api dan air. Jumlahnya RM770.00 satu semester dan perlu dibayar sekaligus sebelum masuk. Campur dengan yuran dan pelbagai bayaran lagi, aku kena cari lebih dua ribu ringgit!!

Yang ni tak ada masalah, tak ada duit boleh hutang, tapi bila aku diberitahu bahawa seramai 6-8 orang ditempatkan dalam satu bilik..aku tak mau. Bayangkan satu rumah teres dua tingkat didiami antara 20-30 orang pelajar!! Macam mana nak belajar?

Bila balik ke rumah, aku bersembang lagi dengan orang kampung tentang apa yang aku baru dapat tau. Tapi orang kampung ni kata” Budak-budak sekarang ni nasib baik sungguh. Dulu kalau tak pas LCE tak boleh masuk Tingkatan 4, tapi sekarang nak masuk universiti cukup senang. Tak ada duit, boleh pinjam duit PTPTN. Banyak benda yang kerajaan dah buat. Cuma sama ada budak tu nak belajar atau tidak.”

Kalau hangpa juga berfikiran macam orang kampung yang aku jumpa ni..tak payah baca la posting aku. Nanti hangpa marah kat aku.

Apa yang aku nak tonjolkan disini ialah kepelbagaian tahap pemikiran, harapan dan sasaran yang ada dikalangan kita. Aku kata sistem pendidikan sedia ada berada pada tahap yang rendah. Tapi ada orang kata sistem pendidikan kita bagus.

Aku kata pendidikan dinegara ini mestilah percuma…orang kata..”tak kan semua kerajaan nak tanggung?” So, terdapat jurang disini pasai semua orang melihat dari pelbagai sudut dan perspektif. Kalau nak berbahas..sampai bila pun tak habis. Dan aku fikir itu tidak perlu. Apa yang perlu ialah satu piawaian untuk dirujuk bersama.

Pertama sekali, selepas 54 tahun merdeka..adakah negara kita sudah maju atau masih mundur atau masih membangun? Ataupun sedang diambang keruntuhan? Apa piawaian yang digunakan? Pendapatan Perkapita? Tahap kemiskinan? Kebebasan bersuara? Pencapaian akademik? Macam-macam boleh diukur mengikut piawaian tertentu.

Aku tak berapa kisah kalau negara kita masih membangun ataupun separa maju, tapi apabila badan-badan antarabangsa mengklasifikasikan Malaysia sebagai negara yang berada diambang keruntuhan, itu membimbangkan.

Jangan percaya cakap aku dan jangan terus percaya kepada kajian NGO luar negeri..tapi nilai sendiri mengikut kriteria dan piawaian yang ditetapkan. Kalau tak puashati, boleh buat piawaian sendiri.

Satu badan antarabangsa yang dikenali sebagai Fund For Peace membuat ranking negara-negara yang diambang keruntuhan ataupun diklasifikasikan sebagai The Failed States. ( Boleh diperolehi disini.)

The Failed States bukanlah petunjuk sama ada negara itu maju atau tidak, tetapi petunjuk sama ada akan berlaku kekacauan, revolusi ataupun kebangkitan rakyat.

Malaysia tidak lah begitu teruk kalau dibandingkan dengan Myanmar, Bangladesh atau Pakistan. Malaysia boleh lah dikatakan the best among the worst. But among the best, Malaysia is the worst.

Ada beberapa kriteria yang dalam klasifikasi ini.

1. Hubungan kaum atau puak. Apakah terdapat ketengangan kaum yang berlaku? Sejauh mana seriusnya?

2. Pelarian ataupun perpindahan manusia.

3. Ketidakpuasan hati kumpulan-kumpulan tertentu. Apabila rakyat tidak berpuashati, mereka akan membuat kumpulan-kumpulan tertentu dan kemudiannya mencabar kumpulan lain.

4. Human Flight ataupun pengaliran keluar tenaga manusia. Sebagai contoh, berapa ramai yang membuat keputusan berpindah ke luar negara kerana tak puashati dengan keadaan dalam negara.

5. Pembangunan yang tak seimbang. Contoh: ada negeri yang dibantu sepenuhnya, dan ada pula negeri yang ditindas sepenuhnya.

6. Kemiskinan. Peningkatan kos sara hidup berbanding pendapatan.

7. Perkhidmatan awam. Adakah makin baik atau makin teruk.

8. Hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang. Apabila hak asasi dinafikan, tentu ramai yang menentang. Kemudian lebih banyak undang-undang dicipta untuk mengekang tentangan. Akhirnya rakyat akan turun kejalanraya.

9. Penggunaan agensi keselamatan. Apabila sesuatu pemerintah itu sudah tidak merasa selamat, dia akan menggunakan kekerasan sama ada dengan menggunakan polis, tentera untuk mengekang tentangan.

10. Terjadinya kumpulan-kumpulan elit. Puak-puak elit akan menubuhkan kumpulannya sendiri dan cuba menentang kumpulan lain.

11. Campurtangan luar. Apabila pemerintah merasa sudah tidak selamat, dia akan meminta bantuan dari luar. Tak kira la dari Israel ka, dari Amerika ka.

Fund For Peace telah meletakkan Malaysia setaraf dengan Libya ditangga 111!! Boleh tengok senarai penuh(disini) dan buatlah perbandingan sama ada Malaysia masih selamat atau tidak.

Jangan terus kutuk Fund For Peace kerana menghina Malaysia dan jangan terus memberikan macam-macam label. Fikir dulu.

http://www.malaysiatimes.my/2012/01/05/abu-adakah-malaysia-sebuah-negara-yang-gagal/

Apabila Denda RM500 Dikenakan Kepada Mereka Yang Tidak Menutup Aurat

KOTA BHARU – Seramai 15 peniaga dan pekerja wanita beragama Islam di Pasar Borong Wakaf Che Yeh di sini dikenakan kompaun RM500 oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) pada operasi tutup aurat di sini malam kelmarin.

Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Islam MPKB-BRI, Wan Sharafi Wan Mustafa berkata, mereka dikenakan tindakan tersebut kerana berpakaian tidak menutup aurat dengan sempurna.

Menurutnya, tindakan tersebut diambil mengikut Undang-undang Kecil Trade Perniagaan MPKB-BRI 1986 (pindaan 2002).

ANGGOTA penguat kuasa MPKB-BRI memeriksa peniaga dan pembantu kedai yang tidak menutup aurat di Pasar Borong Wakaf Che Yeh, Kota Bharu.

Jelas beliau, penguatkuasaan larangan mendedah aurat itu dikenakan kepada golongan peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan mereka di bandar ini tanpa mengira waktu.

“Operasi itu diadakan selepas mendapati ramai peniaga dan pekerja wanita beragama Islam tidak menutup aurat walaupun pekeliling bertajuk Arahan Mematuhi Etika Berpakaian telah dikeluarkan sebelum ini,” katanya.

Mereka yang dikenakan tindakan itu didapati tidak memakai tudung kepala, memakai kemeja-T berlengan pendek dan ketat serta berseluar panjang ketat.

Petikan Kosmo!