Tuesday, January 19, 2010

falsafah pendidikan luqmanulhakim

salam dari selayang.....

Pada suatu hari, Luqmanulhakim mengajak anaknya keluar ke pasar. Beliau mengenderai seekor keldai manakala anaknya pula mengekorinya dengan berjalan kaki.

"Teruknya orang tua ini, anaknya yang kecil dibiarkan berjalan kaki sedangkan dia bersenang-lenang menunggang keldai," kedengaran suara dari sekumpulan manusia yang melihat mereka.


"Wahai anakku, dengarkah engkau apa yang mereka perkatakan itu?" tanya Lukmanul Hakim kepada anaknya.

"Dengar ayah," jawab anaknya sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Sekarang engkau naiklah ke atas keldai ini, biar ayah menariknya," katanya sambil mengangkat anaknya ke atas belakang keldai.

"Nampakkah kalian betapa anak yang tak pandai mengenang budi ayahnya yang sudah tua. Disuruhnya ayahnya menarik keldai sedangkan dia yang masih muda menunggangnya, sungguh tidak patut," kata sekumpulan manusia lain yang mereka temui di tengah, perjalanan.


"Dengarkah engkau apa yang mereka perkatakan?" tanya Lukmanul Hakim kepada anaknya.

Anaknya mengiyakan pertanyaannya itu.

"Sekarang engkau turun dari keldai ini, dan kita sama-sama berjalan kaki," kata Lukmanul Hakim. Anaknya segera turun dari keldai.

Tak berapa lama kemudian mereka bertemu pula dengan sekumpulan manusia yang lain. "Alangkah bodohnya orang yang menarik keldai itu. Keldai untuk dikenderai dan dibebani dengan barang-barang, bukan untuk diseret seperti lembu dan kambing," kata mereka.


"Dengarkah engkau apa yang mereka kata?" tanya Lukmanul Hakim kepada anaknya lagi.

"Dengar ayah."

"Kalau begitu marilah kita berdua naik ke atas belakang keldai ini,"

Tidak berapa lama selepas itu mereka terdengar perbualan sekumpulan orang yang lain pula. "Sungguh tidak bertimbang rasa mereka ini, keldai yang kecil ditunggangi berdua!" kata mereka.


Lukmanul Hakim lalu bertanya kepada anaknya, "Adakah engkau dengar apa yang mereka perkatakan?"

"Ya ayah, saya dengar."

"Kalau begitu marilah kita dukung keldai ini," kata Lukmanul Hakim

Dengan bersusah payah mengikat keempat-empat kaki, akhirnya mereka berjaya mendukung keldai itu. Dan dalam keadaan itu jugalah mereka mula berjalan, dengan bebanan menanggung seekor keldai. Apabila orang ramai melihat gelagat mereka berdua, mereka ketawa terbahak-bahak. "Ha! ha! ha! Hei! Lihatlah orang gila mendukung keldai!"


"Dengarkah engkau apa yang mereka katakan?" dia bertanya kepada anaknya lagi.
"Dengar ayah," jawab anaknya.

Mereka meletakkan keldai itu ke tanah. Beliau pun menyatakan hikmah di sebalik peristiwa tadi, "Anakku, begitulah lumrah manusia. Walau apapun yang engkau lakukan, engkau tidak akan terlepas dan kata-kata mereka. Tak kira benar atau salah, mereka tetap akan mengata."


"Ingatlah anakku bila engkau bertemu kebenaran janganlah engkau berubah hati hanya kerana mendengar kata-kata orang lain. Yakinlah dengan din sendiri dan gantung harapanmu kepada Allah."
Lukmanul Hakim pernah berwasiat kepada anaknya sebelum beliau meninggalkan dunia yang fana ini. "Wahai anakku, janganlah engkau makan kecuali makanan yang sedap sahaja. Berkahwinlah selalu dan binalah rumahmu di seluruh pelosok bumi ini."

Anaknya seolah-olah tidak percaya dengan wasiat ayahnya itu. Tetapi mungkin juga ada sesuatu di sebalik kata-kata itu, fikirnya. Setelah ayahnya selesai dikebumikan dia berjumpa dengan seorang teman rapat ayahnya, lalu meminta penjelasan berkenaan kata-kata wasiat ayahnya itu dengan penuh sangsi.


"Ayahmu memang benar," kata teman ayahnya.

Dia semakin bingung dengan jawapan itu lalu bertanya, "Apakah maksud pak cik?"

"Wasiat ayahmu yang pertama bermaksud janganlah engkau makan kecuali apabila telah benar-benar lapar, kerana apabila engkau sudah terlalu lapar engkau akan merasa makanan yang engkau makan itu begitu lazat dan engkau akan bersyukur dengannya."

"Berkenaan wasiat ayahmu yang kedua pula, hendaklah kamu selalu berkelana, kerana apabila engkau bertemu semula dengan isterimu setelah lama terpisah, engkau akan berasa seperti baru berkahwin. Dan wasiat ketiganya, yang menyuruh engkau membina sebanyak-banyaknya rumah ialah, carilah sahabat seramai mungkin. Apabila engkau telah bersahabat dengan seseorang maka rumahnya akan menjadi seperti rumahmu sendiri dan rumahmu juga sudah seperti rumahnya."


Setelah mendengar penjelasan itu barulah dia faham maksud sebenar dan kata-kata ayahnya, yang pada mulanya dianggap aneh itu. Memang luar biasa insan yang bergelar Lukmanul Hakim ini, katanya satu tapi hikmahnya beribu.

petikan :falsafah pendididkan luqmanulhakim

1 comment:

Ros Illiyyuun said...

Salam...
...memang betul tu...Orang selalu lihat kesalahan orang lain walaupun itu bukan kesalahan. Buat betul orang mengata, buat salah pun orang mengata. Semuanya serba salah...