petikan:berita harian
PASUKAN penyelamat mencari mangsa di celah runtuhan.
Gegaran susulan kejutkan Jambi; Sumatera diisytihar darurat
PADANG: Ketika keadaan di Sumatera Barat masih kelam kabut berikutan gempa bumi kelmarin yang setakat ini mengorbankan 770 orang, manakala 294 mangsa cedera, Indonesia dikejutkan dengan satu lagi gegaran di kawasan Jambi di selatan bandar ini, pagi semalam.
Setakat ini, tiada laporan mengenai kematian akibat gegaran susulan berukuran 6.6 skala Richter pada jam 9.53 pagi itu yang turut dirasai di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Lebih 500 bangunan termasuk beberapa hotel, sekolah, hospital dan gedung beli belah dilaporkan musnah atau mengalami kerosakan teruk dalam kejadian itu.
Hotel Bumi Minang, satu daripada hotel kegemaran rakyat Malaysia yang melancong ke Kota Padang atau menziarahi saudara mara di sana, juga dilaporkan runtuh dengan sejumlah orang dikatakan masih terperangkap, tetapi Kedutaan Malaysia di Jakarta mengesahkan semua 330 pelajar Malaysia di Padang selamat dan tiada laporan rakyat Malaysia terkorban.
TANGISAN dan jeritan menyelubungi Padang. |
Hospital utama Padang, Rumah Sakit Djamil pula penuh sesak dengan mangsa dan keluarga mereka. Berpuluh yang cedera terpaksa dirawat di dalam khemah yang dipasang di perkarangan hospital itu yang bangunannya turut mengalami kerosakan.
Pemerintah Indonesia mengisytiharkan darurat di wilayah Sumatera Barat dan mahu semua pihak bersedia menghadapi keadaan yang terburuk.
"Jangan anggap bencana ini kecil. Kita harus bersedia menghadapi yang terburuk dan melakukan apa yang perlu untuk membantu mangsa," kata Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Jakarta sebelum berlepas ke Padang.
Pasukan penyelamat pertama dari luar Padang yang dianggotai petugas kementerian kesihatan dan tentera Indonesia tiba di bandar berkenaan, semalam.
DUA mangsa terlantar di hospital. |
"Kami memerlukan jentera berat untuk mengangkat runtuhan," kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana, Priyadi Kardono.
Beliau berkata, tiga pesawat pengangkut tentera bersiap sedia untuk menghantar bantuan termasuk khemah, selimut dan ubat.
"Kesan gempa bumi berkenaan mungkin sebesar gempa Yogyakarta," katanya merujuk kejadian gempa 2006 yang membunuh 6,000 penduduk.
Ketua pusat krisis kementerian kesihatan, Rustam Pakaya memberitahu AFP sebuah hospital utama di bandar itu adalah antara bangunan yang runtuh.
"Rumah dan bangunan runtuh menyebabkan beribu-ribu penduduk terperangkap di dalam runtuhan berkenaan," kata Pakaya yang menjangka angka kematian melebihi 1,000 orang.
Yanto, seorang penyambut tetamu hotel di Padang berkata bekalan elektrik masih terputus pagi semalam selepas 15 jam kejadian gempa.
"Hotel kami musnah teruk. Banyak rekahan dan runtuhan dari konkrit," katanya yang bersyukur semua tetamu hotel itu selamat.
Laporan beberapa pihak berkuasa setempat pula menyebut lebih 100 mangsa dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan Hotel Ambacang di tengah Kota Padang dan lebih 60 murid terperangkap dalam bangunan tiga tingkat tempat mereka mengikuti tuisyen ketika kejadian.
1 comment:
Setiap bala dan musibah yang diturunkan oleh Allah pasti bersebab dan Allah tidak pernah menzalimi manusia ttp manusia itu sendiri yg menzalimi dirinya dgn cuba menentang kuasa Allah dgn melakukan pelbagai kemungkaran dan inilah antara teguran Allah yg sgt jelas utk hamba2nya yg mahu berfikir..
semoga semua umat islam mengambil iktibar pada setiap musibah yg menimpa...
Post a Comment